Tokong Menyerupai Kubah Masjid Dirobohkan

Tokong Menyerupai Kubah Masjid Dirobohkan

Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini merobohkan tokong kecil menyerupai kubah masjid di Bukit Raja, Klang, Selangor, kerana dibina tanpa kebenaran majlis serta Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata MPK sudah memberikan notis kepada pemilik tokong pada 24 Januari lalu, supaya memindah atau membuka struktur binaan tokong itu namun ia tidak diendahkan.

"Pembinaan tokong ini dibuat atas tanah kerajaan dan MPK sudah arahkan pemiliknya memindah atau robohkan binaan itu, pemilik juga berjanji robohkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

"Namun sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil pemilik. Berikutan itu, MPK dengan kerjasama polis membantu pejabat daerah merobohkan kuil berkenaan pagi tadi.

"Tindakan diambil mengikut Akta Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan bangunan atau struktur binaan tanpa kebenaran majlis," katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, tokong kecil yang menyerupai kubah masjid itu menjadi tular di media sosial dan mendapat kecaman masyarakat termasuk penduduk setempat.

Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik tokong yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti umat Islam.
© Copyright 2015. Qheba. All Rights Reserved.