Remaja 15 Tahun Bunuh Diri Akibat Tekanan


Akibat daripada tekanan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Bukit Indah di Johor Bahru, malam tadi.

Mangsa, Lee Kah Ling, ditemui dalam keadaan meniarap atas laluan pejalan kaki di bahagian tepi sebuah blok di pangsapuri 17 tingkat itu.

Menurut polis, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.45 malam daripada pengawal keselamatan pangsapuri itu yang mengatakan terdapat seorang lelaki terjatuh.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati seorang remaja perempuan terbaring di laluan pejalan kaki dengan kesan darah di bahagian kepala.

Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati terdapat kecederaan lain di pinggang sebelah kiri, kedua-dua lutut, kedua-dua siku dan bahagian muka atau mulut berdarah. Mangsa berpakaian baju hitam, seluar pendek berwarna merah jambu dan seluarnya terkoyak.

Turut ditemui, satu beg sekolah di tepi mangsa dan mangsa ketika itu tidak memakai kasut.

Pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan di pangsapuri berkenaan dan polis menjumpai sepasang selipar berwarna coklat di atas lantai pada tepi dinding bersebelahan tangga di tingkat 16 dan terdapat sepucuk surat bertulisan cina ditinggalkan atas tembok.

Menurut sumber, tiada saksi yang melihat mangsa terjun daripada tingkat 16 itu, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pelajar tingkatan tiga itu masuk ke dalam lif pada jam 8.02 malam dari tingkat satu pangsapuri berkenaan.

Setakat ini, tiada kesan perbuatan jenayah ditemui dan mangsa dipercayai bunuh diri akibat tekanan.
© Copyright 2015. Qheba. All Rights Reserved.