Hukum Mengambil Barang Yang Dijumpai


Status wang atau barang yang dijumpai, bolehkah kita mengambil atau menggunakannya? Dalam Islam, harus mengambilnya dengan syarat berniat untuk memulangkannya kembali kepada tuan empunya wang atau barang yang dijumpai tersebut. Jika kita terus mengambilnya untuk tujuan menjadi hak milik, haram hukumnya kerana ia dinamakan 'makan harta orang lain".

Jika seseorang menjumpai barang yang tercicir (luqathah) dan tidak ada sebarang tegahan syarak atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syarak dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadits-hadits yang menyatakan tentang hukum syarak memungut Luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah S.A.W ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadits riwayat Muslim)

Huraian daripada pandangan ulama:

Barang tersebut hendaklah dihebohkan dan disimpan selama setahun, jika tidak dituntut dalam masa setahun, niatlah "aku milik barang ini" maka barang tersebut sah menjadi milik orang yang menjumpainya. Barang-barang tersebut hendaklah barang-barang yang tahan lama dan kecil seperti contoh: wang ringgit, jam tangan, cincin, gelang tangan atau pun rantai leher.

Jika barangan yang tidak tahan lama, tidak perlulah disimpan selama setahun, memadailah selama beberapa minit, maka barangan tersebut boleh diambil atau dimakan jika ia makanan. Barang-barang yang tidak tahan lama seperti contoh: roti, kuih, buah, ikan dan daging.

Wallahu ‘alam.
© Copyright 2015. Qheba. All Rights Reserved.