Status Anak Luar Nikah Disisi Islam


Status anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor, sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah dan bersih tanpa dosa.

Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu adalah pelakuan ibu bapanya dan bukannya anak itu yang haram.

Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tin ayat 4)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra ayat 70)

Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah :

صحيح مسلم ٤٨٠٣: حَدَّثَنَا حَاجِبُ بْنُ الْوَلِيدِ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَرْبٍ عَنْ الزُّبَيْدِيِّ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ

ثُمَّ يَقُولُا أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ

{ فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ }

الْآيَةَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى ح و حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ كِلَاهُمَا عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً وَلَمْ يَذْكُرْ جَمْعَاءَ

Abu Hurairah, dia berkata; "Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda: "Seorang bayi tidak dilahirkan (ke dunia ini) melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, atau pun Majusi -sebagaimana haiwan yang dilahirkan dalam keadaan selamat tanpa cacat. Maka, apakah kalian merasakan adanya cacat? " Lalu Abu Hurairah berkata; "Apabila kalian mau, maka bacalah firman Allah yang berbunyi: '…tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan atas fitrah Allah." (Surah Ar-Ruum (30) ayat 30).(Hadis Riwayat Muslim no. 4808)

Ketiga-tiga dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini.

Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah. Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah SAW.

Jangan kita menghina anak tersebut dan meminggirkannya sehingga dirinya merasa hina disebabkan salah ibu bapanya. Dosa besar bagi orang yang menaburkan fitnah dan mengaibkan orang di atas segala dosa yang telah dilakukan oleh ibu dan bapanya.

Dosa ibu bapanya yang lalu biarlah mereka dengan Allah SWT, kita sebagai umat Islam berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Dia mengampunkan segala dosa ketelanjuran mereka dahulu. 

Sebagai umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa atas kesalahan yang telah dilakukan, tetapi sepatutnya mengajak dan memberikan nasihat yang baik kepada mereka supaya mereka mengerti akan pelakuan mereka itu adalah salah di sisi syariat dan bersegeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah SWT menerima ampun bagi sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Anak luar nikah tidak dipertanggungjawabkan atas kelakuan ibu bapanya yang terlanjur dan tidak boleh kita menuding jari kepada anak tersebut, dia juga mempunyai perasaan dan mempunyai hati yang perlu dijaga oleh kita. Setiap amalan kejahatan dan kebaikan adalah merupakan tanggungjawab individu tersebut dan tidak dipertanggungjawabkan kepada orang lain.

Firman Allah yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Surah al-Qiyamah ayat 36)

Bagaimana jika anak luar nikah jadi imam di masjid atau di surau? Jawapannya solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas kelayakkannya, mengikuti krateria-krateria sebagai seorang imam, fasih bacaannya, sebutan jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi masalah dan solat jemaah tersebut sah.

Adakah boleh anak luar nikah jadi wali kepada adik-adiknya? Jawapannya menurut pendapat ulama' anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, kerana hubungannya dengan bapanya diluar ikatan perkahwinan yang sah

Anak luar nikah ini perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jadi jelas di sini, bahawa anak tersebut tidak dikira dari darah daging ayahnya. Anak luar nikah ini tidak boleh jadi wali kepada adik-adiknya.

Adakah bapa yang melakukan zina sehingga dia dilahirkan itu boleh jadi walinya? Jawapannya adalah tidak boleh sebab, menurut pendapat ulama', bapa tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana mereka melakukan hubungan diluar ikatan perkahwinan yang sah. 

Maka anak tersebut boleh diwalikan oleh wali hakim (perkara ini boleh dirujuk kepada bahagian pembangunan keluarga Islam Jabatan Agama Islam mana-mana negeri dalam Malaysia

Wallahu a'lam.
© Copyright 2015. Qheba. All Rights Reserved.