Hukum Bertunang Dalam Islam


Pertunangan dalam Islam bererti kesepakatan peribadi dengan maksud untuk menikah antara lelaki muslim yang sesuai dengan perempuan muslim melalui walinya. Pertunangan ini bukanlah seperti nikah di mana kita perlu beritahu semua orang tentang pertunangan ini.

Bila berlakunya pertunangan, ia bukannya berlaku perubahan yang besar dalam hidup kita. Aktiviti seharian masih berjalan seperti biasa, cuma sudah bertunang. Pasangan yang bertunang masih lagi bukan mahram. Masih ada batas yang perlu dijaga. Masih ada aurat yang perlu dipelihara.

Jadi tidak perlulah hebohkan hari pertunangan. Sepatutnya, majlis pertunangan dibuat secara kecil-kecilan, bukan besar-besaran sampai mewajibkan ada pelamin tunang, mak andam, make-up tebal-tebal dan yang paling 'berat' sekali bila orang lelaki yang bertunang diwajibkan datang lepas majlis dengan berpakaian baju melayu untuk bergambar bersama pasangan tunangnya.

Sebenarnya, cukuplah sekadar majlis pertunangan berlangsung secara sederhana. Tanpa pelamin, baju-baju bertunang, make-up, hantaran berdulang-dulang. Itu semua tidak perlu. Cukuplah sekadar majlis antara dua keluarga. Keluarga lelaki dan keluarga perempuan.

Apakah yang perlu dibanggakan dengan ikatan pertunangan? Masih belum boleh berkongsi kasih. Masih belum boleh tinggal sebumbung. Masih belum boleh bersentuhan kulit. Masih belum boleh! Semuanya masih perlu dijaga. Perlu diingat, bergambar diantara lelaki dan perempuan semasa majlis pertunangan adalah haram kerana mereka belum lagi sah bergelar suami isteri dan gambar itu boleh menimbulkan fitnah.

Hukum Bertunang
Hukum bertunang menurut Mazhab Syafie adalah SUNAT. Ibadah sunat tidak perlu dihebohkan. Ianya perlu dirahsiakan untuk memperolehi keberkatan.

Kenapa Perlu Dirahsiakan Pertunanagan?
"Rahsiakan pertunangan, dan iklankan (maklumkan) perkahwinan." (Hadis riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair)

"Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama' menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik." Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-'Adawi 'ala Sharh Mukhtasar Khalil."

Sebab itu, Islam telah menggariskan panduan untuk merahsiakan pertunangan. Apa saja yang Islam gariskan adalah hikmah untuk menjaga keaiban.

Wallahu ‘alam.
© Copyright 2015. Qheba. All Rights Reserved.